Followers

10 December, 2010

Sazzy Falak ~ seri bakal ibu



Berita Harian: Selepas empat tahun menunggu, akhirnya Sazzy terima ‘hadiah’ amat bermakna

SERI seorang bakal ibu jelas terpancar di wajah pelakon dan pengacara program TV ini. Sinar kegembiraan yang terpancar daripada bebola matanya menterjemahkan perasaan teruja seorang wanita yang begitu sabar menantikan kehadiran zuriat sulung.
Selepas empat tahun, Sazlini Falak atau lebih mesra disapa Sazzy menanti kehadiran orang baru sebagai pengikat kasih sayang antara dia dan suami, baru empat bulan lalu khabar yang dinantikan itu singgah di telinganya.
Hadir ketika umat Islam masih meraikan bulan Syawal, Sazzy ketika ditemui pada majlis pelancaran rantai tangan Pandora, di Bangsar Village 2, baru-baru ini menyifatkan berita yang mengesahkan kehamilannya ibarat hadiah Aidilfitri pada waktu itu.

“Sewaktu hari raya lalu, saya lebih banyak tidur kerana selalu sangat berasa kepenatan. Melihat keadaan saya sebegitu, ibu saya mengesyaki saya mengandung dan menyuruh saya membuat pemeriksaan doktor.

“Selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan saya hamil. Bagaimanapun, berita itu diketahui suami saya terlebih dulu kerana doktor yang menelefonnya. Sebaik saja mendapat perkhabaran itu, dia terus memberitahu saya dengan perasaan yang cukup teruja,” cerita Sazzy yang menyedari kehamilannya sewaktu kandungan memasuki usia lima minggu.

Bukan saja gembira kerana disahkan hamil, tetapi Sazzy juga ingin berkongsi kegembiraan apabila kandungannya yang berusia empat bulan itu adalah kembar. Begitupun, dia merahsiakan khabar gembira itu dari pengetahuan media. Sazzy memberi alasan tersendiri berhubung perkara itu.

“Saya mengikut nasihat dan petua orang tua supaya tidak menghebahkan berita kehamilan awal itu sehinggalah usianya melepasi tiga bulan. Bukannya apa, selepas tempoh itu, kandungan biasanya sudah kuat. Jadi tak adalah berlaku perkara buruk,” kata pelakon yang mula dikenali menerusi filem Gol & Gincu ini. 

Seperti ibu hamil yang lain, Sazzy berkata dia begitu mengambil berat soal penjagaan kesihatan terutama bab makanan. Tanpa berselindung, dia berkata, selera makannya semakin bertambah sejak dirinya berbadan dua.

“Kalau sebelum ini saya hanya memakan sayur dan ikan, kini saya sentuh juga hidangan ayam dan daging. Saya perlu mengambil sedikit hidangan sebegitu kerana memerlukan protein untuk kesihatan dan kandungan,” kata Sazzy yang ditemani pengurus dan pembantu peribadinya sepanjang temu bual itu berlangsung.

Apabila pelakon ini mengumumkan yang dirinya berbadan dua, ia sekali gus menepis dakwaan yang kononnya Sazzy enggan mengandung hanya kerana tidak mahu tubuhnya itu menjadi gemuk.

Ketika diajukan pertanyaan ini kepada si empunya diri, berubah seketika wajah wanita berusia 29 tahun ini.

“Siapa kata saya tak mahu mengandung? Seperti mana wanita yang sudah mendirikan rumah tangga, sudah saya pun ada keinginan untuk hamil dan mempunyai zuriat. Saya memang inginkan cahaya mata untuk menjadi penyeri rumah tangga kami.

“Cuma disebabkan terlalu sibuk dengan kerjaya, saya dan suami memang merancang hanya untuk mendapatkan anak selepas empat tahun berkahwin. Dan alhamdulillah, permintaan kami dimakbulkan Tuhan.

“Bagi saya adalah perkara biasa untuk wanita hamil kelihatan berisi dan saya sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi itu. Memang saya akui, saya seorang yang kuat makan,” kata anak sulung dari tiga beradik ini sambil tertawa.

Tumpu bidang pengacaraan

BERALIH kepada soal kerjaya, Sazzy berkata dia kini lebih selesa menumpukan perhatian terhadap bidang pengacaraan. Bukan bermaksud untuk melupakan terus bidang lakonan yang selama ini menjadi kecintaannya, tetapi dalam situasi sekarang, Sazzy lebih rela berehat seketika.

“Buat masa ini biarlah saya tumpukan perhatian pada kerjaya pengacaraan saja. Bagi saya tugas mengacara lebih mudah dan cepat dari berlakon. Dengan keadaan sekarang ini, saya tak rasa saya larat untuk aktif berlakon seperti zaman belum punya anak dulu,” katanya.

Ditanya sampai bilakah dia memberi tempoh sebelum bercuti untuk bersalin, Sazzy berkata dia akan terus aktif sehinggalah keadaan tidak mengizinkan.

Dalam pada itu, Sazzy berkata syarikatnya, Sinclairfalak Sdn. Bhd. sedang dalam usaha untuk mencari bakat baru untuk bernaung di bawahnya.

“Selain Ashraf Sinclair dan isteri, Bunga Citra Lestari, kami juga menguruskan kerjaya seni pelakon dan pengacara Farish Aziz.Selain melihat mempunyai potensi dan berwawasan, kebetulan pengurus saya Kajai memang sudah lama mengenalinya. Pada saya, untuk menguruskan seseorang artis itu, perlulah ada keserasian supaya hubungan akan berjalan dengan lancar.

“Mungkin selepas ini, kami akan mengintai lebih banyak bakat baru untuk berada di bawah pengurusan Sinclairfalak Sdn. Bhd. Dan tidak mustahil juga, kami akan menerbitkan drama atau telefilem sendiri. Insya-Allah,” tutur Sazzy sebelum mengundurkan diri untuk menghadiri satu lagi acara. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...